LATAR BELAKANG SEKOLAH
Pembinaan sekolah yang berasaskan ‘Design and Built’ telah dimulakan pada 27 Mei 2002 oleh pemaju swasta Opal Development Sdn Bhd beribu pejabat di Sungai Buluh, Selangor. Ia telah dibina di atas sekeping tanah Lot 10717 & PTD 67717, di Jalan Pahlawan 4, Tmn Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor Darul Takzim.
Dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan keluasan tapak pembangunan sebanyak 35,469.7 m2 (8.765 ekar) meliputi 4 buah Bangunan Utama Blok Pentadbiran dan Akademik, sebuah bengkel Kemahiran Hidup, Makmal Sains dan Makmal Komputer, Dewan serbaguna, Surau serta Kuarters Guru 4 tingkat sebanyak 32 unit.
Bangunan yang telah siap sepenuhnya pada bulan Disember 2003 telah dilakukan Pra-Penyerahan kepada JPN Johor pada 29 Januari 2004.Sepanjang tempoh tersebut beberapa kerosakan telah dikesan dan pihak pemaju telah diminta untuk membaik pulih dengan segera sebelum penyerahan dilakukan.
Pada 8 Mac 2004, majlis penyerahan rasmi bangunan sekolah yang lengkap bernilai RM 21 juta telah diadakan pada jam 10 pagi dengan kehadiran semua kontraktor yang terlibat bersama-sama wakil JPN Johor, wakil PPD Johor Bahru, wakil sekolah pembimbing SMK Taman Perling 2 serta Penyelaras SMK Taman Sutera Tn Hj Ab Karim b Yahya dari SMK Taman Universiti 1.
Seterusnya sekolah yang terdekat iaitu SMK Taman Tun Aminah telah dilantik sebagai sekolah pembimbing. Pengoperasian sekolah telah bermula pada 14 Jun 2004 dengan mula ditadbir oleh Pengetua baru Tn Hj Kamaruddin b Sa’ayun (Penolong PPD Johor Bahru), GPK 1 Pn Balwinder Kaur A/P Jagir Singh dari SMK Bandar Baru UDA , GPK HEM Pn Hjh Sadiah bt Samian dari SMK Taman Universiti 1dan GPK Kokurikulum Tn Hj Ab. Karim b Yahya dari SMK Taman Universiti 1.
Jumlah pelajar di awal pembukaan sekolah ialah seramai 463 orang yang terdiri daripada Tingkatan Peralihan seramai 81 orang, Tingkatan Satu seramai 148 orang, Tingkatan Dua seramai 169 orang dan Tingkatan Empat seramai 65 orang. Jumlah tenaga pengajar ialah seramai 25 orang (termasuk pentadbir) serta seramai 6 orang staf sokongan.
